Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy merayu agar Majlis Perbandaran Tawau (MPT) memberikan kerjasama dalam usaha menempatkan mangsa kebakaran Kampung Seri Menanti Otentik ke unit kosong Projek Perumahan Rakyat (PPR) sebagai penempatan sementara.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu berkata, tindakan segera perlu diambil bagi membantu mangsa yang kini kehilangan tempat berteduh, terutama mereka yang tidak mempunyai keluarga terdekat untuk menumpang.
“Saya difahamkan bahawa pihak MPT kini sedang giat melaksanakan proses pemutihan PPR, termasuk unit yang dihuni secara tidak sah seperti didaftarkan atas nama orang lain, tidak membayar sewa atau tidak lagi layak mengikut kriteria penerima bantuan perumahan.
“Jadi, saya berharap agar pihak MPT dapat membuka ruang kerjasama dengan membenarkan penggunaan unit kosong ini untuk penempatan sementara mangsa kebakaran,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa di lokasi kejadian, di sini semalam.
Terdahulu, Andi turut menyampaikan bantuan keperluan harian seperti makanan asas, barangan kebersihan diri serta bantuan kewangan kepada keluarga terjejas, hasil sumbangan pelbagai agensi termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM).
Kebakaran yang berlaku baru-baru ini telah memusnahkan beberapa rumah di Kampung Seri Menanti Otentik, menyebabkan puluhan penduduk kehilangan tempat tinggal.
Dalam pada itu, menurut Andi, cadangan itu bukanlah bersifat kekal, sebaliknya hanya sebagai langkah sementara bagi mengurangkan beban mangsa sehingga mereka mendapat kediaman tetap.
“Kita tahu permintaan terhadap rumah di Tawau sangat tinggi dengan ribuan permohonan namun unit yang tersedia sangat terhad. Namun dalam keadaan bencana seperti ini, kita harap ada sedikit kelonggaran demi kemanusiaan,” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya telah berhubung dengan MPT dan sedang menunggu maklum balas rasmi mengenai permohonan penempatan mangsa di PPR Taman Sri Bukit Tawau.
“Kalau ada unit kosong, kita harap ia boleh digunakan untuk meringankan beban mereka. Ini bukan bencana yang diminta, ia sudah terjadi. Jadi kita perlu bantu setakat mana yang termampu,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa pihak Parlimen Kalabakan akan berusaha membina semula kemudahan awam yang rosak dalam kejadian kebakaran berkenaan demi keselesaan penduduk setempat.
“Insya-Allah, kita akan cuba bantu bina semula kemudahan penduduk yang terjejas supaya mereka boleh terus hidup selesa selepas ini,” katanya.