Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun dan merampas pelbagai jenis dadah serta menyita dua kenderaan dengan nilai keseluruhan mencecah RM1.23 juta dalam satu siri serbuan di sekitar bandar ini sejak 4 Julai lalu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata operasi dua hari itu dilaksanakan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu di tiga lokasi berasingan.
Dalam serbuan pertama pada 4 Julai, polis menyerbu sebuah kondominium dan menemui 790.56 gram syabu bernilai RM25,000, selain peralatan membungkus dadah, mesin kira wang dan penimbang digital.
Keesokan harinya, satu lagi serbuan di kondominium kedua menemukan 14.14 gram ketamin, diikuti pemeriksaan ke atas sebuah kereta Toyota Yaris yang ditinggalkan di tempat letak kereta awam, menemukan 12.7 kilogram syabu, 6.9 kilogram ketamin, 25 paket jus ekstasi dan 10 biji pil ekstasi bernilai lebih RM934,000.
“Turut disita dua kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dengan anggaran nilai RM270,000,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai mula menjalankan aktiviti pengedaran dadah sejak tahun lalu, dengan ujian air kencing menunjukkan positif methamphetamine. Suspek kini direman sehingga 11 Julai dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jauteh memaklumkan, dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran tempatan dan luar negara, dan mampu menampung penggunaan lebih 100,000 penagih.
Beliau menyeru orang ramai menyalurkan maklumat kepada PDRM bagi membanteras kegiatan pengedaran dadah di negeri ini.
Sementara itu pada sidang media sama Jauteh berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah mencatat peningkatan ketara nilai rampasan dadah dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, iaitu sebanyak RM6.56 juta berbanding RM2.62 juta dalam tempoh sama tahun lalu peningkatan RM3.9 juta.
“Jabatan itu juga merekodkan penurunan jumlah kes di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 kepada 8,170 kes pada 2025 berbanding 8,173 kes pada 2024, iaitu penurunan tiga kes (0.04 peratus). Namun, jumlah tangkapan meningkat sedikit kepada 8,542 orang berbanding 8,517 tahun lalu, menunjukkan kenaikan 25 tangkapan atau 0.29 peratus,” katanya.
Tambah beliau, pertuduhan bagi kes bekalan dan pemilikan dadah serta kes di bawah Akta Racun pula mencapai 7,607 kes daripada 8,174 kertas siasatan yang dibuka, atau pencapaian sebanyak 93.06%. Bahagian Pelucuthakan Harta turut mencatat peningkatan sitaan bernilai RM8,289,730 pada 2025, berbanding RM1,055,783.21 bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya, iaitu peningkatan sebanyak RM7.23 juta atau 785 peratus.