PENAMPANG : Sabah mampu berubah wajah menjadi sebuah negeri yang lebih maju, makmur, aman dan sentosa jika Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus diberi mandat oleh rakyat dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 akan datang.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, selama hampir lima tahun memimpin Kerajaan Negeri, pelbagai pencapaian penting telah dicapai, termasuk pemulihan ekonomi negeri dan peningkatan pelaburan serta hasil kerajaan negeri secara signifikan.
“Ketika kita mengambil alih pentadbiran negeri pada September 2020, Sabah berdepan situasi ekonomi paling buruk dalam sejarah.
“Namun, dengan perancangan teliti dan pelaksanaan Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ 1.0), kita bukan sahaja berjaya memulihkannya, malah melonjakkan prestasi ekonomi negeri ke tahap yang amat membanggakan,” katanya.
Menurut Hajiji, antara pencapaian utama kerajaan GRS termasuk Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah pada 2024 meningkat kepada RM84.3 bilion, berbanding RM83.2 bilion pada 2023.
“Kutipan hasil negeri selama tiga tahun berturut-turut iaitu 2022, 2023 dan 2024 hampir mencecah RM7 bilion, berbanding hanya RM3.59 bilion pada 2020. Rizab Kerajaan Negeri kini telah mencecah RM8.6 bilion.
“Pelaburan domestik dan asing yang berjaya dibawa masuk ke Sabah sejak 2021 pula berjumlah RM35.38 bilion.
“Semua ini adalah petunjuk ekonomi yang sihat dan bukti keupayaan serta kecemerlangan pentadbiran Kerajaan Negeri pimpinan GRS.
“Tiada siapa yang boleh menafikannya. Hanya pembangkang sahaja yang memilih untuk menutup mata dan menafikan fakta-fakta ini,” katanya.
Menurut Hajiji, GRS bukan sahaja berupaya menjana kemajuan ekonomi, tetapi turut komited dalam menyempurnakan pembangunan infrastruktur asas, membasmi kemiskinan tegar dan mensejahterakan kehidupan rakyat seluruhnya.
“Insya-Allah, jika GRS terus diberi mandat dalam pilihan raya akan datang, kita akan pastikan semua rancangan pembangunan yang telah dirangka dapat dilaksanakan sepenuhnya – daripada bandar hingga ke pedalaman,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa dasar Hala Tuju SMJ bukan sekadar dokumen, tetapi satu pelan strategik jangka panjang yang menyeluruh merangkumi pembangunan sumber manusia, pengurusan hasil bumi dan kecekapan pentadbiran.
“Dengan iltizam politik yang kuat, ditambah dengan iklim ekonomi yang semakin baik serta kestabilan politik yang kita sama-sama perjuangkan sejak 2020, saya yakin Sabah akan melangkah jauh ke hadapan sebagai negeri yang maju, aman dan makmur,” katanya.
Hajiji juga mengingatkan seluruh pimpinan dan ahli GRS supaya terus mempertahankan perjuangan gabungan itu dalam menghadapi cabaran masa depan, tohmahan pembangkang serta gerakan terselindung yang bertujuan melemahkan kekuatan politik GRS.
Katanya, kejayaan pentadbiran GRS menyebabkan pihak pembangkang tidak senang dan berterusan melakukan serangan politik bersifat destruktif, termasuk penyebaran dakyah palsu, penipuan dan fitnah terhadap kerajaan serta pemimpin-pemimpinnya.
“Mereka tidak akan berhenti. Mereka cemburu dan irihati terhadap kejayaan yang kita capai. Mereka mahu melihat kita gagal, lemah dan jatuh.
“Justeru, saya ingatkan, rumah kita, kita jaga. GRS ini rumah kita, tempat kita berlindung dan mengatur perjuangan. Kalau bukan kita sendiri yang menjaganya, siapa lagi yang boleh kita harapkan?” katanya .
Dalam pada itu, beliau menyifatkan Konvensyen PBS-STAR 2025 sebagai satu detik bersejarah yang memperkukuh muafakat politik tempatan, sekali gus memberi isyarat jelas bahawa GRS bersedia menghadapi PRN Ke-17 dengan barisan kepimpinan yang teguh, bersatu dan berwibawa.
Menurutnya, kerjasama erat antara dua parti tempatan – Parti Bersatu Sabah dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) – adalah lambang kematangan politik yang meletakkan kepentingan rakyat dan negeri Sabah mengatasi perbezaan fahaman.
“Konvensyen ini bukan sahaja memperlihatkan semangat penyatuan dalam kalangan parti tempatan yang punya sejarah dan prinsip tersendiri, malah membuktikan bahawa GRS mampu melangkah lebih jauh sebagai gabungan politik yang benar-benar mewakili aspirasi rakyat Sabah,” katanya.