Kota Kinabalu : Pasukan bola sepak wanita Sabah meletakkan sasaran untuk kembali menjadi juara Liga Wanita Nasional (LWN) pada musim ini selepas sekadar bergelar naib juara musim lalu.
Pengurus pasukan bola sepak wanita Sabah Muhd Arziz Afizy Rumsani berkata, persiapan rapi telah dijalankan termasuk penambahan pemain import berkualiti bagi memperkuatkan jentera pasukan.
“Kita membawa masuk dua pemain import iaitu Win Theingi Tun dari Myanmar dan Sebin An dari Korea.

“Sudah tentu dengan kehadiran mereka bukan sahaja menambah kekuatan pasukan, tetapi juga memberi peluang kepada pemain tempatan untuk belajar daripada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis pelancaran jersi baharu pasukan bola sepak wanita Sabah di Fut8 Padang Kontena di sini baru-baru ini.
Majlis pelancaran jersi itu disempurnakan Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) yang juga Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya.
Arziz berkata, kehadiran pemain luar dengan pengalaman antarabangsa diharap dapat meningkatkan intensiti permainan sekaligus membantu pembangunan kualiti bola sepak wanita tempatan.
“Tahun 2023 kita pernah bergelar juara sulung LWN, dan musim lalu kita di tempat kedua. Jadi, musim ini kita kembali dengan semangat baharu dan lebih bersedia untuk merebut kejuaraan,” katanya.
Sabah akan memulakan kempen LWN 2025 menentang Kelana United pada 19 Julai dalam perlawanan pembukaan di gelanggang lawan. – SABAH MEDIA