KOTA KINABALU, — Dunia permainan hobi di Malaysia mencatat sejarah apabila seorang ‘kuda hitam’ dari Sabah, Daniel Tan, 35, muncul sebagai juara nasional Warhammer 40,000 selepas mencatat lima kemenangan bersih dalam kejohanan Xunobi Warhammer 40K Golden Ticket Malaysian Nationals Finals 2025 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 6 Julai lalu.
Bagi mereka yang tertanya-tanya, Warhammer 40,000 atau lebih dikenali sebagai Warhammer 40K bukan sekadar permainan meja biasa. Ia merupakan gabungan seni, strategi, kreativiti dan komuniti yang telah menarik jutaan pemain di seluruh dunia sejak dicipta oleh syarikat Games Workshop dari United Kingdom pada tahun 1987.
Permainan ini dimainkan di atas papan meja besar, biasanya bersaiz kira-kira 4 kaki x 6 kaki, yang dipenuhi figura miniatur tentera yang dipasang dan dicat sendiri oleh pemain. Dengan lebih 26 pasukan untuk dipilih antaranya Space Marines, Orks, Tyranids dan Eldar Dimana setiap pemain akan membawa pasukan unik mereka untuk bertempur dalam perlawanan penuh taktikal.
Tidak seperti permainan lain, Warhammer 40K memerlukan strategi yang mendalam serta bergantung kepada faktor nasib melalui balingan dadu. Setiap perlawanan boleh mengambil masa antara 3 hingga 4 jam, yang menuntut ketahanan mental dan fizikal, selain penguasaan peraturan yang kerap dikemas kini bagi memastikan permainan sentiasa seimbang.
Di peringkat global, komuniti permainan ini dianggarkan mencecah 3.5 hingga 5 juta pemain, termasuk selebriti terkenal seperti Ed Sheeran dan Henry Cavill.
Dengan kejayaannya ini, Daniel kini bakal membawa nama Malaysia ke Kejohanan Dunia Warhammer di Atlanta, Georgia, Amerika Syarikat, dari 6 hingga 9 November 2025.
Wartawan Sabah Media berpeluang menemu bual Daniel untuk mengetahui lebih lanjut tentang perjalanannya.

PERMULAAN YANG SEDERHANA
“Saya mula bermain dua tahun lalu selepas diperkenalkan oleh abang saya,” kata Daniel yang turut menjalankan program Team Building , latihan kepimpinan dan komunikasi, selain mengurus beberapa mesin layan diri sebagai mata pencariannya.
Bagi Daniel, membangunkan hobi ini di Sabah bukan mudah. “Komuniti di sini sangat kecil berbanding di Semenanjung. Di Kota Kinabalu, hanya ada satu tempat khas untuk bermain. Saya sendiri buat meja dan landskap di rumah untuk berlatih,” katanya.
Setiap kali ke Kuala Lumpur, Daniel tidak melepaskan peluang membawa pasukan miniaturnya untuk bermain bersama komuniti di sana. Selain itu, beliau juga banyak mempelajari teknik baru melalui tontonan siaran langsung kejohanan antarabangsa dari United Kingdom dan Amerika Syarikat di YouTube.
APA ITU WARHAMMER 40K?

Menurut Daniel, bagi mereka yang tidak pernah mengenali Warhammer 40K, ia boleh dibayangkan sebagai permainan perang di atas meja, di mana pemain menjadi jeneral pasukan masing-masing.
“Bayangkan gabungan catur dan permainan Risiko, tetapi dengan skala lebih besar dan mendalam,” jelasnya.
Permainan ini dimainkan di atas papan berukuran sekitar 4 kaki x 5 kaki, lengkap dengan pelbagai bentuk muka bumi, halangan, misi dan susun atur tersendiri. Pemain boleh memilih daripada 26 pasukan berbeza . Bayangkan catur, tetapi bukan sekadar hitam dan putih, sebaliknya dengan pelbagai pasukan, peraturan, unit dan kekuatan masing-masing.
Yang menariknya, sebelum boleh bermain, pemain perlu membeli, memasang dan mengecat sendiri miniatur tentera mereka. Ini menjadikannya bukan sahaja permainan strategi, tetapi juga satu hobi seni yang memerlukan ketelitian dan kesabaran.
Dalam perlawanan, dadu memainkan peranan penting. Setiap serangan, pergerakan dan keputusan bergantung kepada gabungan strategi dan nasib hasil balingan dadu. Tidak hairanlah ramai pemain berkata, “dadu menceritakan cerita.”
Setiap perlawanan biasanya berlangsung selama lima pusingan dan boleh memakan masa sekitar 3 hingga 3.5 jam. Di peringkat akhir nasional, peserta bermain tiga perlawanan sehari, bermula dari pukul 9 pagi hingga 9 malam, termasuk rehat makan tengah hari. Malah, ada pemain yang menggunakan jam catur supaya kedua-dua pihak mendapat masa permainan yang adil.
Permainan ini bukan sahaja mencabar minda, malah memerlukan ketahanan fizikal dan mental. Menurut Daniel, Games Workshop sentiasa mengemas kini peraturan permainan setiap tiga bulan sekali bagi memastikan permainan kekal seimbang dan menarik.
PERSIAPAN MENJADI JUARA
Mengenai persiapannya, Daniel berkata, “Sejujurnya, sebahagian besarnya saya mahu merasai pengalaman bermain lima perlawanan dalam dua hari. Tapi sudah tentu saya mahu menang yang bukan Sahaja untuk dirinya , malah untuk keluarga, untuk Sabah dan untuk tiket emas mewakili Malaysia ke peringkat dunia.”
Daniel mengkaji misi, menyusun senarai pasukan dan merangka strategi untuk setiap lawan.
“Saya cuba ikut pelan yang dibuat, dan bernasib baik menang semua perlawanan!” katanya dengan senyuman.
MENUJU ATLANTA: CABARAN BESAR SETERUSNYA
Kemenangan ini membuka jalan untuk Daniel bertanding di Kejohanan Dunia, namun cabaran terbesar menantinya ialah urusan visa dan kos perjalanan.
“Kos visa dari Sabah lebih mahal kerana saya perlu ke Kuala Lumpur untuk temu duga. Tambahan pula, tiket penerbangan dan penginapan di Amerika Syarikat memang tinggi. Bagi saya, ini peluang sekali seumur hidup untuk mewakili Malaysia,” katanya.
Bagi merealisasikan impian ini, Daniel sedang mencari penaja. Kos keseluruhan dianggarkan sekitar RM10,000 hingga RM15,000. Malah, beliau juga menjual salah satu pasukan miniatur yang tidak lagi digunakan dan merancang untuk menghasilkan baju-T khas sebagai usaha mengumpul dana tambahan.
Mereka yang berminat untuk membantu atau menaja boleh menghubungi Daniel melalui Instagram beliau di @danster_x45.
DARI SABAH UNTUK DUNIA
Kisah Daniel bukan sekadar tentang permainan meja, tetapi tentang semangat, usaha dan cita-cita. Dari meja buatan sendiri di Kota Kinabalu, beliau kini melangkah ke pentas dunia, membawa nama Sabah dan Malaysia.
“Doakan saya,” pesan Daniel dengan senyuman penuh harapan.