Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang pemandu lori yang menyimpan dua butir kelongsong peluru M16 sebagai koleksi peribadi didenda RM3,500 atau, jika gagal membayar, dipenjara selama enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini.
Tertuduh, Mohd Jabar Mohd Japar, 36, mengaku bersalah di hadapan Majistret Marilyn Kelvin kerana memiliki dua butir kelongsong peluru M16 (5.56mm) tanpa lesen atau permit yang sah pada 29 Mac lalu, kira-kira jam 7.27 malam, di Balai Berlepas Aras 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama, iaitu penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh yang ingin berlepas ke Tawau telah ditahan oleh seorang polis bantuan (pengadu) selepas pemeriksaan ke atas beg miliknya mendapati terdapat dua butir kelongsong peluru yang telah digunakan.
Penemuan itu berlaku apabila pengadu melihat objek mencurigakan berbentuk seperti kunci di dalam beg tertuduh melalui imbasan mesin pengimbas.
Pengadu kemudian memanggil tertuduh dan meminta agar beg tersebut dibuka untuk pemeriksaan. Hasil pemeriksaan menemukan dua butir kelongsong peluru jenis ‘blank’ yang telah digunakan.
Apabila ditanya, tertuduh memaklumkan bahawa kelongsong peluru tersebut ditemuinya di rumah dan disimpan sebagai koleksi peribadi.
Pengadu kemudian melaporkan perkara tersebut kepada pegawai atasan dan menerima arahan supaya membawa suspek ke balai polis untuk tindakan lanjut.
Siasatan lanjut mendapati tertuduh menjumpai kelongsong peluru itu di atas meja di luar rumahnya pada bulan September 2024. Dia tertarik untuk menyimpannya kerana beranggapan bahawa kelongsong peluru tersebut merupakan objek yang jarang dilihat oleh orang awam sepertinya.
Sepanjang tempoh penyimpanan, tertuduh tidak pernah memberitahu sesiapa mengenai kelongsong peluru tersebut dan menegaskan bahawa ia hanya disimpan sebagai koleksi peribadi tanpa sebarang niat jahat.
Tambahan pula, tertuduh tidak mengetahui bahawa menyimpan kelongsong peluru adalah satu kesalahan di sisi undang-undang.
Pengawai Pendakwa Inspektor Yusdi Basri mengendalikan pendakwaan.