KOTA KINABALU : Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, sekali lagi menegaskan bahawa video berkaitan skandal rasuah yang didakwa melibatkan Adun di negeri itu bertujuan mencemarkan imejnya serta kerajaan negeri.
Katanya, kerajaan negeri membenarkan pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya jika terdapat unsur salah laku atau penyalahgunaan kuasa.
“Saya sedar terdapat laporan yang diterbitkan oleh portal tertentu, seperti, yang kelihatan bertujuan mencemarkan imej kerajaan dan diri saya sebagai pemimpinnya.
“Mengenai butiran lanjut, saya tidak dapat mengulas kerana perkara ini sedang disiasat, dan sebarang kenyataan boleh menjejaskan proses tersebut.
“Namun, saya memberi jaminan kepada dewan ini bahawa pengurusan semasa Sabah Mineral Management (SMM) beroperasi dengan tadbir urus yang baik,” katanya dalam pengulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini semalam.
Hajiji menegaskan berkata, semua pertimbangan dan kelulusan dibuat melalui mesyuarat lembaga pengarah, dan SMM telah mengemukakan laporan berkaitan skandal tersebut kepada pihak berkuasa berkaitan, termasuk SPRM.
“Kerajaan negeri memberi kepercayaan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya jika terdapat salah laku atau salah guna kuasa.
Saya tidak dapat memberikan komen terperinci kerana kes ini masih dalam siasatan,” tambahnya.