Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Gara-gara tidak berpuas hati apabila permintaan menyambung kontrak sewa tidak dilayan, seorang wanita bertindak ganas menyerang pemilik premis bersama beberapa individu lain dalam satu kejadian di Taman Semarak, dekat ini semalam.
Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari ketika mangsa, seorang wanita berusia 36 tahun, berada di dalam premisnya sebelum didatangi suspek bersama empat lelaki.
Menurut Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, suspek bertindak memukul dan menendang mangsa selain mengugut untuk membakar kedai tersebut serta memberi amaran tidak akan melepaskan mangsa jika terserempak di luar.
“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan berhubung isu penyambungan kontrak sewa yang dijangka tamat pada bulan Ogos ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau telah berjaya menahan dua individu termasuk seorang lelaki berusia 27 tahun, yang merupakan rakan suspek utama, kira-kira jam 4.30 petang hari yang sama.
Kata beliau, siasatan mendapati suspek wanita berusia 36 tahun itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala lelaki yang ditahan mempunyai empat rekod lampau membabitkan kes dadah dan khianat.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri dalam menyelesaikan sebarang pertikaian, sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.