Membakut : Madrasah Tahfiz Darul Yatama Yacob Khan, di sini menjadi institusi tahfiz pertama di Sabah melaksanakan program Latihan Pendidikan dan Teknikal Vokasional (TVET) sebagai langkah melahirkan generasi huffaz yang lebih versatil.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, kursus khas TVET- Tahfiz itu merupakan program rintis yang dilaksanakan Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) untuk memastikan huffaz di negeri ini lebih professional selain seimbang dari segi ilmu duniawi dan ukhrawi.

”Hari ini satu sejarah dicipta apabila satu kursus yang kita laksanakan dibawah JPSM iaitu TVET-Tahfiz selaras dengan apa yang dikehendaki oleh aspirasi Kerajaan dan sudah tentu kita menggalakkan usaha-usaha TVET ini.
“Anak-anak ini dilatih bagi mengikuti kursus khas iaitu asas pendawaian elektrik dan penyelenggaraan penghawa dingin. Sesungguhnya usaha seperti ini boleh meningkatkan lagi kemahiran di kalangan belia Sabah sekaligus memperkasakan TVET di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan penutupan Kursus Khas TVET- Tahfiz di Madrasah Tahfiz Darul Yatama Yakob Khan di sini pada Sabtu.
Arifin yang juga Exco Pendidikan dan Agama Sabah turut meminta agar JPSM memperluaskan lagi program lain bagi membolehkan pelajar tahfiz memperoleh kemahiran dalam kursus yang disertai.

“Kita juga boleh memberi focus kepada beberapa lagi program antaranya berhubung dengan pastri dan ini salah satu bidang yang ada kaitan dengan anak-anak kita khususnya dalam penyediaan makanan atau masakan halal.
“Saya yakin ini juga mendapat tempat dalam kalangan anak-anak tahfiz kita dan mudah-mudahan program yang akan datang kita akan dapat laksanakan dengan lebih berkesan lagi. Hari ini saya melihat kebolehan anak-anak walaupun 10 hari, mereka boleh sekurang-kurangnya kenal dan melaksanakan apa yang diberikan oleh pelatih mereka,” katanya.
Kursus yang disertai seramai 20 perintis tahfiz itu telah mengikuti kursus khas yang melibatkan pembelajaran teknikal mengenai asas pendawaian elektrik dan penyelenggaraan penghawa dingin.
Arifin berharap agar pembelajaran dan kemahiran yang diperolehi memberi impak positif dan menarik lebih banyak minat untuk menceburi bidang kemahiran teknikal juga di samping pembelajaran Al-Quran. – SABAH MEDIA