TENOM: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick, berkata parti itu terus komited memartabatkan bahasa-bahasa etnik di Sabah sehingga diajar secara rasmi di sekolah-sekolah kerajaan.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperaai berkata, usaha itu penting bagi menyemarakkan lagi sense of belonging serta menghargai peranan dan sumbangan setiap etnik dalam pembangunan negara.
“Saya konsisten menyokong pengajaran dan pembelajaran bahasa ibunda Kadazandusun yang sedang dilaksanakan di sekolah-sekolah kerajaan sekarang ini, serta mendukung usaha memperkenalkan bahasa etnik lain seperti Murut Timugon, Kadazan Tangaa, Tatana dan Lotud di sekolah-sekolah kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Program Mini Karnival Budaya dan Bahasa Etnik Murut Timugon di Dewan Terbuka Paguakon, di sini, kelmarin.
Ewon berkata, UPKO menyokong penuh usaha yang dipelopori oleh aktivis-aktivis persatuan etnik Sabah dan guru-guru etnik yang kini giat membangunkan modul buku teks, buku kerja serta bahan pengajaran bahasa etnik untuk tujuan tersebut.
“Pada tahun lalu, saya telah menyalurkan peruntukan tidak kurang daripada RM50,000 masing-masing bagi bahasa etnik iaitu Murut Timugon, Kadazan Tangaa, Tatana dan Lotud untuk menyiapkan modul buku kerja dan buku teks yang bakal diperkenalkan,” katanya.
Beliau berkata, dalam pertemuan rasmi bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, pada tahun lepas, satu Jawatankuasa Khas telah ditubuhkan untuk meneliti cadangan pelaksanaan pengajaran bahasa-bahasa etnik ini secara rintis di kawasan yang mempunyai majoriti penutur bahasa tersebut.
“Saya akan terus mendukung dan memantau usaha-usaha ini agar setiap etnik di negara ini dapat berbangga kerana hak, peranan dan sumbangan mereka juga dihormati dan ada tempatnya di negara kita,” katanya.