KOTA KINABALU : Kerajaan Negeri sentiasa menyokong usaha memartabatkan seni, budaya dan bahasa tempatan seperti program Anugerah Lagu SABAHVfm.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, dengan adanya program-program sebegini, bakat-bakat baharu akan terus dicungkil dan industri muzik etnik Sabah akan terus bersinar.
Hajiji berkata, kerajaan negeri komited untuk bekerjasama dengan RTM Sabah dan agensi lain pada masa hadapan bagi memastikan lebih banyak program berimpak tinggi seperti ini dapat dilaksanakan.
“Kita akan terus berusaha untuk menyediakan sokongan yang diperlukan agar industri seni dan budaya di Sabah terus berkembang pesat
“Program Anugerah Lagu SABAHVfm juga selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk melihat industri muzik tempatan terus berkembang maju,” katanya.
Teks ucapannya disampaikan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai.
Hajiji berkata, program mencerminkan komitmen RTM Sabah dalam mendekati masyarakat serta menggalakkan penghasilan karya seni baharu yang berkualiti tinggi.
“Anugerah Lagu SABAHVfm ini amat signifikan kerana ia menyediakan platform untuk lagu-lagu etnik Sabah diketengahkan bukan sahaja di peringkat negeri, malah ke peringkat global menerusi platform seperti Aplikasi RTM Klik dan laman Facebook RTM Sabah serta SABAHVfm.
“Ini adalah satu langkah proaktif yang harus dicontohi. Program seperti ini membuka peluang kepada para pengiat seni, khususnya pencipta lagu-lagu etnik, untuk mengembangkan bakat dan karya mereka,” jelas Hajiji.
Menurutnya, kerajaan negeri menyokong dan menggalakkan para penggiat seni tempatan untuk menghasilkan lebih banyak lagu baharu dalam bahasa etnik Sabah.
“Lagu-lagu dan muzik etnik ini bukan sekadar gubahan melodi dan lirik, tetapi turut mencerminkan sejarah serta budaya masyarakat berbilang kaum di negeri ini,” katanya.